PELANCONGANSELANGOR

Selangor destinasi pelancongan pilihan keluarga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OGOS: Selangor adalah destinasi pelancongan pilihan keluarga paling popular di Malaysia, kata Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din.

Katanya, tidak dinafikan negeri itu mempunyai pelbagai tarikan sehingga ada yang menyifatkan melancong ke Selangor ibarat melancong ke seluruh negara.

Antara destinasi pilihan keluarga ialah Sunway Lagoon, Wet World, Bangi Wonderland, Kidzania Kuala Lumpur, Jumpstreet Asia dan District 21.

“Sebut sahaja Sunway Lagoon, semua sudah kenal. Di sana mereka mempunyai pelbagai tarikan menarik, termasuk laluan ‘flying fox’ terpanjang di Asia, malah ia juga tempat paling sesuai untuk bersantai dengan golongan tua dan muda.

“Sementara itu, jika orang ramai berkunjung ke Wet World yang terletak di pinggir Tasik Shah Alam, ia adalah lokasi paling sesuai kerana berdekatan dengan Bukit Cherakah.

“Di samping itu, pengunjung juga dapat melihat flora dan fauna di Taman Botani Shah Alam,” katanya kepada SelangorKini.

Noorul Ashikin berkata, District 21 menjadi pilihan buat ahli keluarga yang menggemari sukan lasak.

Pada masa sama, katanya, kempen Discover Selangor, #TakeMeAnywhere pada tahun ini juga memberi penekanan kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk melawati tempat menarik, di Selangor.

“Aktiviti lasak biasanya dikaitkan dengan kawasan hutan, namun sekarang tidak perlu ke hutan lagi kerana taman tema pengembaraan, District 21 dibuka di IOI City Mall Putrajaya.

“Dapat disimpulkan, Selangor bukan sahaja mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa tetapi pada masa sama, memiliki pelbagai tempat indah serta menarik untuk aktiviti keluarga,” katanya.

 


Pengarang :