SELANGOR

Semak dan imbang MCA sudah ketinggalan

OLEH SHEEDA FATHIL

CHERAS, 20 OGOS: Tindakan MCA untuk menjadi semak dan imbang kepada Kerajaan Negeri disifatkan sudah ketinggalan, kata Wong Siew Ki.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong itu berkata, langkah terbabit tidak bertepatan kerana semua parti dalam PAKATAN sudah lama melaksanakan semak dan imbang.

“Tindakan MCA untuk jadi semak dan imbang sebenarnya sudah ketinggalan kerana PAKATAN sudah buat dahulu.

“Lagipun PAKATAN sendiri gabungan daripada empat parti. Jika ada antara kami buat salah, kita akan betulkan kesilapan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pengedaran Bendera Malaysia di Pekan Batu 11, di sini, semalam.

Turut hadir memeriahkan program Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Kenyataan itu susulan tindakan MCA yang mengumumkan manifesto dengan ikrar menjadi pihak yang membuat semak dan imbang kepada kerajaan.

Namun, Siew Ki berkata, MCA perlu ingat mereka juga banyak menggubal dasar yang mengongkong rakyat dan media, sebelum ini.

 


Pengarang :