NASIONAL

Seramai 4,365 suri rumah sudah mencarum i-Suri – Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Seramai 4,365 suri rumah telah mendaftar untuk Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) sejak ia dikuat kuasa pada 15 Ogos lepas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pelaksanaan skim i-Suri bukan bertujuan semata-mata untuk melaksanakan janji dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan tetapi lebih daripada itu untuk menjaga kemaslahatan wanita terutamanya golongan suri rumah.

“Kerajaan memandang serius dan komited dalam memastikan insentif berkenaan dan kebajikan wanita agar sentiasa terjaga. Kerajaan percaya wanita sentiasa memberi sumbangan kepada pembangunan negara sama ada secara langsung atau tidak termasuklah suri rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Santapan Malam Hari Wanita 2018 anjuran Majlis Pertubuhan Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO) yang bertemakan ‘Mengilham Harapan, Memacu Wawasan’, di sini malam tadi.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,berkata skim tabungan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Fasa pertama menyasarkan golongan suri rumah yang merupakan isteri kepada Ketua Isi Rumah (KIR), KIR dalam kalangan ibu tunggal, KIR wanita berstatus balu dan KIR wanita bujang yang berdaftar di dalam pangkalan data kemiskinan nasional, e-kasih,” katanya.

Dalam majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan melancarkan buku ‘Sri Kandi :Biografi Penerima Pingat Mas Tun Fatimah 1974 -2013’ hasil tulisan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.

Turut hadir, Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor bagi Kesihatan, Kebajikan dan Pemerkasaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dan Yang Dipertua NCWO, Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sehubungan itu, Wan Azizah menyeru NCWO yang mewakili wanita pelbagai kaum, agama, latar belakang sosio-ekonomi dan pegangan politik, untuk berganding bahu dan senafas dengan iltizam baharu kerajaan.

“Iltizam ini berlandaskan keyakinan bahawa penglibatan wanita dalam pembangunan bukan hanya soal keadilan dan hak, tetapi yang lebih penting adalah keperluan bagi negara kita untuk mencapai status maju,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap agar wanita tidak mudah goyah dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang selain perlu berani menongkah arus mengikut peredaran masa.

Katanya, wanita perlu bangkit dan memotivasikan diri untuk mencipta kejayaan diri demi pembangunan negara dan menumpukan perhatian kepada perkara asas yang selalu menyekat penglibatan wanita.

“Saya percaya masih banyak lagi usaha yang perlu kita laksanakan, bukan hanya tertumpu pada inisiatif kerajaan tetapi juga memerlukan kolaborasi yang erat dengan pelbagai pemegangan kepentingan termasuklah badan-badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :