NASIONAL

Serantau Muslim sokong had masa remaja akses internet

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 OGOS: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menyekat akses internet dan penggunaan permainan video bagi remaja.

Pengarah Media dan Komunikasi Serantau Muslim, Muhammad Faeez Azahar berkata, cadangan itu amat baik malah Jepun dan Korea juga sudah melaksanakannya dan ia patut dilaksanakan di Malaysia.

Katanya, ini kerana sejak kebelakangan ini remaja dilihat alpa bersama gajet masing-masing sehingga mengabaikan pelajaran mereka.

“Serantau Muslim percaya dengan pendekatan dan perubahan yang bakal dilakukan ini, ia dapat membendung masalah terutamanya anak masih bersekolah untuk mendapatkan tidur berkualiti dan daya fokus tinggi semasa berada di dalam kelas.

“Kami ingin mengingatkan masyarakat bahawa ketagihan terhadap aplikasi media sosial dan permainan video memberi kesan buruk kepada perkembangan sosial dan intelek dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, KKM menyuarakan hasrat ingin menyekat akses internet dan penggunaan permainan video bagi remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun selepas jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi.

Muhammad Faeez berkata, akibat ketagihan terhadap sosial media ramai remaja abad 21 kini gagal berinteraksi secara baik apabila berada bersama golongan yang lebih berusia mahupun lebih muda daripada mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, beliau menyokong kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, bahawa seseorang individu ketagih bermain permainan video dan aplikasi media sosial akan menyebabkan mereka merasa terlalu ingin melakukan aktiviti tersebut yang akan memberi kesan dan menjejaskan aktiviti pembelajaran, kerjaya dan hubungan sesama ahli keluarga.

“Walaupun World Health Organization (WHO) menyatakan ketagihan sosial media sosial masih belum diklasifikasikan sebagai gangguan mental, namun kami percaya jika tiada pendekatan awal untuk mengubah, ia mungkin boleh mendedahkan mereka kepada masalah perkembangan neuro, tingkah laku dan gangguan mental.

“Bagaimanapun, perkara ini bukan sahaja kerajaan dan pihak tertentu perlu bertindak, ibu bapa juga harus memainkan peranan bagi memastikan remaja tidak lalai melayari laman sosial dan perlunya pemantauan terhadap gajet anak-anak serta sentiasa menasihati mereka,” katanya.


Pengarang :