Sebahagian pempamer yang mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2017 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2017. Foto ARKIB SELANGORKINI
EKONOMISELANGOR

SIBS 2018 sasar kutipan RM250 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Negeri mensasarkan RM250 juta nilai transaksi sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Anatarabangsa Selangor 2018 (SIBS 2018), yang dijangka berlangsung September ini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, kutipan itu mampu dicapai menerusi penyertaan negara ASEAN bagi mempromosi sektor halal produk makanan.

Katanya, ia sekali gus mampu memacu ekonomi negara sebagai hab perdagangan antarabangsa.

“SIBS 2018 menjadi landasan utama kepada pelabur yang berminat melabur, di negaraASEAN.

“Melalui persidangan kali ini, pelabur dan pedagang akan mempamerkan produk mereka kepada dunia luar yang turut disertai Eropah serta Afrika,” katanya.

SIBS 2018 dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 16 September ini, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Ia bakal merangkumi Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor 2018, pada 6 dan 7 September, Ekspo Antarabangsa Selangor (6 hingga 9 September) dan Konvensyen Ekonomi Digital & Bandar Pintar Selangor (13 hingga 15 September).

Chang Khim berkata, ia juga menjadi saluran strategik untuk pemasaran, kerjasama dan perkongsian serta menyediakan pendedahan juga maklumat berkenaan perkembangan teknologi terkini, di dunia.

“Kerajaan Negeri berhasrat menerajui peluang perniagaan dan bidang kerjasama yang berpotensi bukan sahaja untuk Selangor atau Malaysia sebagai negara, tetapi komuniti ASEAN.

“Kelebihan Selangor terletak pada lokasi geografi yang strategik, logistik dan infrastruktur teknologi baik serta kestabilan ekonomi.

“Walaupun mengiktiraf kelebihan setiap negara ASEAN, kami berbangga dapat menjadikan Selangor sebagai pintu masuk perdagangan dan pertumbuhan serantau,” katanya.


Pengarang :