SELANGOR

SPR lebih bersedia, pusat mengundi tak sesibuk PRU14

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 4 OGOS: Sesi pagi proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun pagi ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Tinjauan SelangorKini di pusat mengundi terbabit mendapati, suasana pembuangan undi tidak sesak berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

SelangorKini yang sempat berbual dengan beberapa petugas keselamatan dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) difahamkan kali ini pihak SPR lebih bersedia berhadapan dengan kesesakan pengundi seperti yang berlaku pada PRU14 lalu.

“Pembuangan undi kali ini lengang, tak ramai datang seperti PRU14 lalu di mana masa itu pengundi terpaksa beratur panjang,” kata petugas terbabit.

Katanya, pada PRK kali ini SPR telah menambah saluran mengundi daripada tujuh kepada lapan saluran bagi mengelak kejadian kesesakan berlaku seperti PRU14 lalu.

Hari ini seramai 51,217 pengundi DUN Sungai Kandis membuang undi pada PRK kali ini.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas penyandangnya, Shuhaimi Shafiee meninggal dunia pada Julai lalu.


Pengarang :