SELANGOR

SPR: PRK Sungai Kandis peratusan mengundi kedua terendah sejarah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 OGOS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi kedua terendah dalam sejarah dengan 49.4 peratus.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, jumlah peratusan keluar mengundi terendah yang pernah direkodkan adalah di DUN Penanti dalam PRK selepas PRU-12.

“Ada beberapa faktor jumlah keluar mengundi rendah walaupun kita telah menambah saluran mengundi dan memanjangkan masa mengundi, ‘mood’ itu berbeza berbanding PRU-14 lalu.

“Kita harap untuk PRK DUN Balakong dan Seri Setia, peratusan mengundi akan meningkat semula.

“Kita akan tengok sebab-sebab peratusan keluar mengundi rendah. Tetapi hari ini tiada banyak isu, cuaca pun cantik bahkan di sesetengah tempat kita sediakan ‘buggy’ untuk mereka keluar mengundi.

“Mungkin masih baru kerana belum sampai tiga bulan selepas PRU-14,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengumuman rasmi keputusan PRK di Pusat Penjumlahan Rasmi PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam.

Mengulas mengenai tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkempen menerusi laman sosial, Othman berkata SPR akan meneliti kesemua laporan dan bantahan yang akan dikemukakan kelak.

Katanya, bantahan boleh dikemukakan selepas 21 hari keputusan diwartakan.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengekalkan kerusi Sungai Kandis di bawah penguasaan KEADILAN selepas menang dengan majoriti 5,842 undi

Beliau yang memperoleh 15,427 undi menewaskan dua lagi calon, Datuk Lokman Noor Adam mewakili Barisan Nasional yang mendapat 9,585 undi manakala seorang lagi calon, K Murthy mewakili BEBAS, sekadar memperoleh 97 undi.

Dalam perkembangan lain beliau turut memaklumkan mesyuarat khas berhubung kekosongan DUN Seri Setia akan dilangsungkan pada 8 Ogos hadapan.

 


Pengarang :