BERITA UTAMANASIONAL

SST dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 OGOS: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merafak sembah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V atas perkenan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pada 24 Ogos lalu.

Beliau dalam kenyataan berkata, perkenan itu membolehkan SST bdikuat kuasa bermula 1 September ini untuk menggantikan GST yang sudah dimansuhkan.

“Kementerian Kewangan ingin menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V kerana memperkenan pelaksanaan SST yang selari dengan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan dalam mendukung janji manifesto, pada pilihan raya lalu.

“Dengan pelaksanaan SST yang bakal diwartakan sebelum 30 Ogos ini, kerajaan berharap ia dapat meringankan beban rakyat memandangkan kerajaan hanya mengutip RM21 bilion, berbanding RM44 bilion di bawah GST pada 2019,” katanya.

Katanya, kerajaan juga berharap pengusaha perniagaan dapat mematuhi peraturan dan mendaftarkan perniagaan mereka dengan SST.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) akan memantau dan mengambil tindakan ke atas akiviti pencatutan (profiteering).

“Ini bagi memastikan tiada pengusaha mengambil kesempatan dan sebagai langkah kerajaan mengekang kenaikan harga yang boleh mengakibatkan tekanan kepada rakyat,” katanya.

Cadangan pemansuhan GST yang digantikan dengan SST mendapat kelulusan Dewan Rakyat, pada 9 Ogos lalu dan 20 Ogos lalu oleh Dewan Negara.


Pengarang :