PBTSELANGORSUKANKINI

SUKMA Perak 2018: MPSJ bapa angkat kontinjen Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal menggalas tanggungjawab sebagai bapa angkat beberapa acara sukan untuk kontinjen Selangor ke kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Perak tahun ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, selaku salah satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), MPSJ diamanahkan Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor untuk empat acara dipertandingkan dalam temasya sukan terbesar di Malaysia itu.

Katanya, pasukan angkat SUKMA diterima pihaknya termasuk Wushu, Kriket, Futsal Lelaki dan Perempuan.

“Pihak kami akan membantu setiap pasukan mengikut keperluan mereka, khususnya dari aspek kemudahan logistik semasa latihan, persediaan kejohanan dan semasa kejohanan berlangsung.

“Selain itu, PBT turut membantu memberi kerjasama dengan menyediakan pengangkutan seperti bas dan kereta, elaun, jersey serta keperluan lain.

“Sebagai pembakar semangat dan sokongan moral kepada atlet, kami juga akan menghantar pasukan sorak (Cheer Team) sepanjang kejohanan diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPSJ Bil. 8/2018, di Bilik Mesyuarat Kenanga, Aras 2 Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Noraini optimis pasukan angkat SUKMA dapat menjulang kemenangan di kejohanan berkenaan, sekali gus mengharumkan nama Selangor ke persada lebih tinggi.

“Setakat ini kita mempunyai rekod amat bagus dan memberangsangkan, terutama acara futsal bagi kedua-dua kategori dan saya yakin mereka mampu melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir, seterusnya membawa balik pingat emas untuk Selangor,” katanya.

Terdahulu, SUKMA edisi ke-19 akan berlangsung mulai 12 hingga 22 September ini, dengan menyaksikan Perak selaku tuan rumah penganjuran terbabit.

Edisi kali ini juga bakal menyaksikan 12 Daerah dan 29 Sukan serta 39 Tempat Pertandingan, membabitkan 427 Acara Sukan, selain 2,952 Pingat menjadi taruhan kepada barisan atlit.


Pengarang :