BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan rasmi Floria Diraja Putrajaya 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 25 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menyempurnakan Festival Floria Diraja Putrajaya 2018, di sini, pagi ini.

Baginda turut meluangkan masa hampir sejam melawat pameran yang dikelolakan Kementerian Wilayah termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tourism Malaysia, serta diuruskan anak syarikat milik penuh Perbadanan Putrajaya (PPj), PULSE Group juga Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB).

Lawatan baginda berakhir di Floral Pavilion yang menempatkan pameran pelbagai hasil gubahan bunga menarik daripada pereka bentuk bunga antarabangsa dari China, Jerman, Indonesia, Jepun, Korea, Filipina, Singapura, Taiwan dan Vietnam.

Terdahulu, turut mengiringi Sultan dan Tengku Permaisuri Norashikin adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad; Timbalan Menteri Wilayah, Dato’ Dr Shahruddin Md Salleh serta Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Bertemakan ‘10 Kegemilangan FLORIA’, Festival Bunga dan Taman 2018 itu berlangsung di Anjung Floria Event Centre, Presint 4, di sini, selama sembilan hari bermula 25 Ogos hingga 2 September ini.

Lebih menakjubkan, terdapat lebih 400,000 pokok pelbagai spesis dan kultivar bunga-bungaan daripada industri hortikultur serta landskap dipamerkan dalam suasana taman.

Floria 2018 akan dibuka kepada lawatan umum untuk hari Isnin hingga Khamis bermula jam 9 pagi hingga 10.30 malam, manakala hari Jumaat hingga Ahad dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam.

Pengunjung juga digalakkan membeli tiket secara atas talian (Online Purchase) pada kadar lebih murah dengan diskaun 20 peratus berbanding pembelian di kaunter.

 


Pengarang :