SELANGOR

Sunway anjur karnival #JomMalaysia sempena merdeka

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 OGOS: Kumpulan Sunway mengumumkan persiapan pusat membeli-belahnya menawarkan pengalaman mendalami warisan dan budaya negara, menerusi karnival #JomMalaysia bersempena Hari Kebangsaan yang bakal tiba.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Razman M Hashim berkata, karnival itu dirancang berlangsung, pada 31 Ogos dan 1 September ini, dari jam 10 pagi hingga 10 malam, di hadapan Sunway Resort Hotel dan Spa.

Katanya, inisiatif itu dambil sebagai tanda penghargaan kepada kempen ‘Sayangi Malaysiaku’ dengan menawarkan lima ruang pengalaman khusus yang mempamerkan kepelbagaian warisan serta budaya Malaysia.

“Lima ruang pengalaman yang dibangunkan adalah Rasa Malaysia (makanan), Suara Malaysia (Muzik), Budaya Malaysia (tarian), Seni Malaysia (seni dan kraf), dan Permainan Malaysia (permainan).

“Kami juga berharap ia akan menjadi pengalaman nostalgia yang menggembirakan untuk semua, selain mengukuhkan cinta kepada negara ini dengan memupuk pemahaman lebih mendalam berkenaan sejarah kita.

“Untuk memahami Malaysia adalah dengan mencintai Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk maklumat lanjut berkenaan karnival, layari jommalaysia.com.my.


Pengarang :