BERITA UTAMANASIONAL

Syukur sambut Aidiladha aman dan damai

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menzahirkan rasa syukur kerana dapat menyambut Aidiladha dalam keadaan aman dan damai.

Katanya, rakyat juga menyambut perayaan berkenaan tanpa rasa curiga dengan kerajaan yang memerintah berlandaskan ajaran Islam.

“Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua rakyat Malaysia. Alhamdulillah, rakyat dapat meraikannya dalam keadaan aman dan tenteram.

“Ini kerana kita tidak berasa curiga dengan kerajaan yang memerintah dan negara kini pulih serta aman damai,” katanya dalam perutusan Aidiladha.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pula menyeru umat Islam di Malaysia menyambut Aidiladha dengan pengisian bermanfaat.

Katanya, Aidiladha menuntut umat Islam bermuhasabah terhadap peranan dan kepedulian sebagai hamba, masyarakat serta pemimpin.

“Rakyat perlu berganding bahu untuk melaksanakan tanggungjawab selaras dengan posisi masing-masing.

“Penghayatan terhadap sejarah dan peristiwa Aidiladha mampu memimpin hala tuju hidup seseorang individu serta kebangkitan sesebuah negara,” katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam di negara ini memperbanyakkan sedekah kepada golongan memerlukan.


Pengarang :