NASIONAL

Tabung Bayaran Balik GST sebenarnya RM19.24 bilion

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan jumlah sebenar kekurangan dana dalam Tabung Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.24 bilion, berbanding RM17.91 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Jumlah itu diperbetulkan beliau dalam sesi Dewan Rakyat pagi ini sekali gus menyaksikan ia adalah angka lebih besar daripada nikai dilaporkan sebelum ini.

“Tunggakan sejak 2015 yang tidak dapat dibayar balik adalah kerana Tabung Bayar Balik GST kekurangan dana RM19.248 bilion atas kegagalan kerajaan lama memindahkan RM19.24 bilion kepada Tabung Bayaran Balik GST daripada 2015 sehingga 31 Mei 2018.

“Saya ingin memohon maaf kepada Tuan Yang Dipertua ke atas kesilapan ini. Akan tetapi, adalah lebih baik kami telus, jujur dan berterus-terang dengan Dewan Yang Mulia ini daripada menyembunyikan perkara sebegini seperti kerajaan lalu,” katanya.

Dalam ucapan sama, Ahli Parlimen Bagan memaklumkan angka baki sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik adalah sekitar RM148.6 juta sahaja dan bukannya RM1.486 juta seperti yang diumumkan minggu lalu.

Katanya, percanggahan itu disebabkan kesilapan tidak sengaja daripada pegawai pejabatnya akibat salah letak titik perpuluhan.

Guan Eng dalam Bacaan Kali Kedua untuk pembentangan Rang Undang- Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2018 pada 9 Ogos 218 telah mencadangkan pemansuhan Akta Cukai dan Perkhidmatan 2014.

Dalam ucapan itu, beliau menyebut bahawa Kerajaan terdahulu gagal membayar tuntutan cukai input dalam masa 2 minggu.

Rekod Jabatan Kastam DiRaja Malaysia yang disahkan menunjukkan bahawa jumlah tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST lebih daripada 2 minggu adalah sebanyak RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018.

Daripada jumlah tunggakan RM19.4 bilion ini, sebanyak RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion dari 2017, RM2.8 bilion dari 2016 and RM0.6 bilion dari tahun 2015.


Pengarang :