SUKANKINI

Tahniah skuad bola sepak negara – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tidak ketinggalan menzahirkan ucapan tahniah buat skuad bola sepak negara bawah 23 tahun apabila berjaya mengalahkan Korea Selatan, dalam perlawanan bola sepak Sukan Asia 2018, malam tadi.

Amirudin menerusi twitternya berkata, kejuaraan itu adalah hasil yang begitu luar biasa.

“Pasukan Malaysia membuat serangan yang cukup luar biasa, dan benteng pertahanan berusaha sebaiknya pada keseluruhan perlawanan.

“Syabas Datuk Ong Kim Swee menewaskan Korea Selatan, juara bertahan!,” tulisnya.

Semalam, skuad bola sepak negara mengharumkan nama Malaysia setelah berjaya menjaringkan dua gol untuk Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung, Indonesia.

Kemenangan ini mengesahkan kemaraan Malaysia ke pusingan kalah mati selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan kumpulan E.

Sebelum ini, Malaysia mengalahkan Kyrgyzstan 3-1 dalam perlawanan pertama kumpulan E, manakala Korea membelasah Bahrain 6-0.

Selepas ini, Malaysia akan bertemu Bahrain dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 20 Ogos jam lapan malam waktu Malaysia.

 


Pengarang :