SELANGORSUKANKINI

Tampuk kepimpinan negara bertukar selepas PRU14, ibarat merdeka kali kedua – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pertukaran tampuk kepimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ibarat negara memperolehi kemerdekaan buat kali kedua, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, kejayaan ‘membebaskan’ Malaysia daripada regim korup adalah bukti kesepakatan rakyat Malaysia yang cintakan negara dan bangsa.

“Alhamdulillah, peralihan kuasa yang berlaku pada 9 Mei berlangsung dengan aman dan sejahtera, dan kini menjadi buah mulut seantero dunia.

“Dari Washington, London, Beijing dan New Delhi memperkatakan iltizam rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dan yang menakjubkan, memastikan transisi kuasa berlaku secara aman tenteram,” katanya ketika ucapan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor 2018 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.

Hadir sama Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Sue Lim, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron serta ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Amirudin berkata, perjalanan 61 tahun sepanjang kemerdekaan negara bukanlah tanpa darah, keringat dan air mata.

Katanya, perjuangan para perajurit negara menuntut dan mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara adalah tunjang makna Hari Kebangsaan.

“Kebebasan yang dikecapi ini tentunya memberi makna yang sangat besar buat kita semua. Kebebasan yang kita pertahankan sepenuh jiwa raga demi masa depan anak cucu.

“Namun, tugas yang lebih besar menanti kita iaitu memahami makna dan mengisi erti kemerdekaan itu adalah tugas hakiki yang harus disemat di dalam sanubari setiap anak Malaysia,” katanya.


Pengarang :