NASIONAL

Tanding MPP kerana hormati pimpinan senior, mahu fokus pentadbiran Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 5 OGOS: Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memutuskan untuk bertanding bagi kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Amirudin berkata, antaranya beliau menghormati pimpinan senior yang bakal bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada Pemilihan KEADILAN 2018 kali ini.

“Sudah terlalu ramai pimpinan senior bertanding Naib Presiden, jadi atas dasar menghormati pimpinan senior ini saya memutuskan akan bertanding merebut kerusi MPP kali ini.

“Berdasarkan peluang dan pengalaman sejak 2009 saya diberi kepercayaan sebagai ahli MPP lantikan saya yakin dapat menyumbang sesuatu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghantar borang pencalonannya kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana Merchant Square di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pencalonan beliau dicadang dan disokong oleh calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Dr Afif Bahardin dan calon Timbalan Ketua AMK, Mohd Hilman Idham.

Katanya, selain menghormati pimpinan lebih senior, fokus kepada tanggungjawab sebagai Menteri Besar turut mendorong beliau untuk tidak bertanding merebut jawatan lebih tinggi.

Dalam sidang media itu, Amirudin turut memperkenalkan seorang lagi calon MPP, Radzlan Jalalludin.

Katanya, Radzlan sebelum ini merupakan Naib Ketua AMK.


Pengarang :