Selangorkini
NASIONAL

Tanpa GST, Kerajaan tetap bantu Kumpulan B40

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OGOS: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membidas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus mempertahankan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mendakwa ia hanya dikenakan ke atas golongan kaya serta usahawan besar dan dengan ketiadaan GST ini, golongan terbabitlah paling beruntung.

Dalam kenyataan beliau berkata, Najib lupa bahawa GST telah memberi kesan terhadap rakyat Malaysia di segenap lapisan, terutamanya golongan miskin dan tidak berkemampuan yang mana golongan ini tidak dikenakan cukai sebelum ini.

Keadaan ini sekaligus meletakkan bebanan kewangan berterusan ke atas rakyat sehinggakan mereka melakukan perubahan pada PRU-14 lalu.

“Kerajaan Malaysia Baharu sudah menunaikan janji dengan menghapuskan GST. Amaran kerajaan sebelum ini yang menyatakan Malaysia akan jatuh muflis dengan ketiadaan GST tidak benar sama sekali.

“Bahkan bayaran BR1M (kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup atau BSH), masih lagi diteruskan meskipun tanpa kewujudan GST. BSH disasarkan kepada golongan kumpulan B40.

“Bagaimana pula Najib boleh mendakwa golongan miskin ini tidak dibantu sedangkan bayaran terakhir BSH tahun ini akan diagihkan bermula 15 Ogos, seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha?

“Sebanyak 4.1 juta rakyat akan menerima BSH yang menelan anggaran kos RM1.6 bilion,” katanya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) terus membantu Kumpulan B40 dibantu dengan menstabilkan harga petrol walaupun Kerajaan Barisan Nasional hanya membuat apungan berdasarkan harga pasaran.

Menurutnya, walaupun harga minyak antarabangsa meningkat sebanyak 42 peratus daripada Bajet 2018 dengan anggaran USD52 setong ke USD74 setong, harga RON95 serta diesel tetap kekal pada masing-masing RM2.20 dan RM2.28 seliter.

Langkah ini membabitkan subsidi petrol kira-kira 30 sen seliter berjumlah RM3 bilion yang ditanggung kerajaan sehingga penghujung tahun 2018.

“Najib terbukti salah apabila menyatakan GST adalah bagus dan menuduh kerajaan baharu ini tidak fokus dalam membantu golongan B40.

“Najib sewajarnya tidak melepaskan kekecewaannya atas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum yang lepas kepada Pakatan Harapan dan kegagalannya dalam menyandang kedudukannya sebagai Perdana Menteri kepada Tun Dr Mahathir,” katanya.


Pengarang :