SELANGOR

Tarif air kekal: Netizen puji kepedulian Kerajaan Negeri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 OGOS: Jaminan Kerajaan Negeri dalam mengekalkan kadar tarif air ternyata memberi khabar gembira khususnya rakyat Selangor, terutama dalam mendepani kos sara hidup yang semakin meruncing.

Susulan itu, pelbagai reaksi diberikan netizen yang rata-rata bersyukur dengan keprihatinan Kerajaan Negeri kerana program air percuma juga masih dikekalkan.

Tinjauan SelangorKini menerusi facebook mendapati seorang pengguna dikenali Amiryon Yon, menyifatkan Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari adalah pemimpin yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.

Pada masa sama, mengkritik hebat kerajaan pembangkang yang sekadar tahu membuat spekulasi berhubung isu itu.

“Terbaik Yb….la ni (sekarang ini) pembangkang buat cerita yang air kat sana akan naik 100 peratus…hihi,” tulisnya.

Sementara itu, Suhaimi Miey, seakan menyindir kenyataan dimuat naik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa rakyat Selangor terpaksa membayar lebih 10 kali ganda daripada apa yang ditawarkan Kerajaan Negeri pada 2013.

Katanya, Abdul Khalid seperti ketandusan idea kerana meskipun kemelut air di Selangor sudah berakhir, tetapi masih nekad bermain dengan isu itu.

“Kenapa tiada kenaikan tarif air, sian (kesian) cai Umno tak dapat nak mainkan isu kenaikan tarif air selepas pengambilalihan SPLASH oleh Kerajaan Selangor,” tulisnya.

Sebelum itu, pada Jumaat lalu, pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bernilai RM2.55 bilion itu akan menyelesaikan hutang tertunggak ditanggung anak syarikat Air Selangor, iaitu SYABAS kepada SPLASH untuk pembelian air terawat yang mencecah sebanyak RM4.7 bilion setakat 30 Jun 2018.

Air Selangor juga akan membayar secara ansuran untuk tempoh sembilan tahun bagi mengambil alih syarikat SPLASH.

Tawaran pengambilalihan itu sekali gus mengakhiri penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlarutan sejak sekian lama.


Pengarang :