BERITA UTAMASELANGOR

Teruskan tradisi peduli rakyat – Zawawi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni bertekad mahu meneruskan kesinambungan tradisi peduli rakyat selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Katanya, antara tugas pertama yang akan diselesaikan ialah menyempurnakan kerja naiktaraf infrastruktur yang tidak sempat ditunaikan penyandang kerusi DUN itu, Mat Shuhaimi Shafiei sebelum ini.

“Sepanjang tempoh berkempen sejak 14 hari yang lalu, saya menerima banyak aduan berkaitan prasarana, perparitan, lampu jalan dan pelbagai kes berkaitan infrastruktur.

“Selepas melihat semuanya, kita akan panjangkan ianya kepada pihak bertanggungjawab dan akan diselesaikan secara berperingkat,” katanya dalam sidang media.

Zawawi yang memenangi majoriti undi sebanyak 5,842 itu turut melahirkan rasa syukurnya kepada pengundi yang terus memberi sokongan kepada PAKATAN.

“Terima kasih kepada keluarga saya yang tidak pernah putus mendoakan, juga pihak jentera yang bertungkus lumus siang dan malam.

“Tidak ketinggalan, pihak media yang setia menanti dan menyampaikan suara saya kepada pengundi, saya akan galas tanggungjawab ini dengan sebaiknya,” katanya.

 


Pengarang :