SELANGOR

Tiada sekolah ditutup akibat HFMD di Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 4 OGOS: Tiada sekolah ditutup akibat jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor walaupun jumlah kes berada pada tahap berjaga-jaga.

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, bagaimanapun hanya dua kelas ditutup di dua buah sekolah di negeri ini.

“Tidak dinafikan kini Selangor mempunyai kes tertinggi HFMD namun perlu diingatkan bahawa jumlah bilangan murid kita di negeri ini adalah hampir 1 juta orang.

“Disebabkan itu peratusan ini dilihat tertinggi berbanding negeri lain, namun jabatan tetap mahu mengingatkan ibu-bapa termasuk guru supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“JPS sendiri sudah mengeluarkan langkah-langkah pencegahan, hanya tinggal guru dan murid mengikuti langkah yang diberikan supaya mengelakkan kes ini terus merebak,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2017 di Menara Yayasan Selangor, hadir sama Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry.

Sebelum ini, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Jangkitan HFMD di Selangor berada pada tahap berjaga-jaga dengan 9,300 kes dicatat sejak Januari sehingga bulan lalu.

Katanya, golongan kanak-kanak berusia bawah enam tahun merupakan yang paling banyak menerima jangkitan berkenaan melibatkan 8,501 kes, kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun (568 kes) dan 231 kes untuk berusia 12 tahun ke atas.

Mei lepas di minggu ke-15 sehingga minggu ke-17 dengan merekodkan kira-kira 600 jangkitan seminggu di seluruh negeri.

Kes jangkitan HFMD ini memuncak pada awal Mei lepas di minggu ke-15 sehingga minggu ke-17 dengan merekodkan kira-kira 600 jangkitan seminggu di seluruh negeri.

 


Pengarang :