NASIONAL

Tiada tender baru dibuka untuk projek LRT3

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak membuka tender semula yang baharu untuk projek Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu diambil kerana menghadapi isu pampasan dan kerugian ‘sunk cost’ melebihi RM4.2 bilion.

“Kerajaan menerusi Prasarana Malaysia Sdn Bhd memutuskan supaya projek LRT3 dirunding semula sebagai kontrak harga tetap atau ‘fixed fee contract’.

“Ini akan memastikan harga akan terikat kepada harga ditetapkan. Dengan kata lain, fi yang dibayar pada enam peratus di bawah kadar lama kepada Rakan Pelaksana Projek (PDP) tidak wujud lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pada sesi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat.

Guan Eng berkata, Kerajaan terdahulu menganggarkan fi asal PDP berjumlah RM948 juta.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan projek LRT3 diteruskan dengan kos akhir RM16.63 bilion, berbanding kos asal RM31.65 bilion.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, sekali gus menyaksikan pengurangan 47 peratus wang rakyat berjumlah RM15.02 bilion.


Pengarang :