NASIONAL

Tiga maut kereta terbakar akibat kemalangan di Kudat

KUDAT, 12 OGOS: Seorang lelaki dan dua wanita maut apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler 18 tan di Kampung Hobut di sini, malam tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah hari ini, pertembungan antara dua kenderaan itu dalam kejadian kira-kira 8.20 malam itu menyebabkan kereta Proton terbabit terbakar dan mengorbankan ketiga-tiga mangsa.

Bagaimanapun, maklumat mangsa tidak diperolehi dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, menurut kenyataan itu.

Katanya pihak bomba Kudat yang menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 8.26 malam menghantar pasukan 10 anggota ke lokasi kejadian kira-kira 42 kilometer dari balai dan bertindak membuat pemadaman dan mengeluarkan ketiga-tiga mangsa tersebut.

“Pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :