PENDIDIKANSELANGOR

Tiga pensyarah UNISEL raih pingat emas Pharma-IIDEX 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 OGOS: Siapa sangka, hasil ciptaan ‘Mikania Fix-Wound Healing Cream’ berjaya melonjakkan nama tiga pensyarah Universiti Selangor (UNISEL), apabila meraih pingat emas sempena Pharma-IIDEX 2018, yang berlangsung pada 3 Ogos lalu.

Mewakili Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FSKH), ia diketuai Sarimah Mat Nawi termasuk dua pensyarah lain iaitu Nurhafizah Ibrahim serta Nurkhairul Bariyah.

Jurucakap UNISEL menerusi kenyataan berkata, ciptaan inovatif dan kreativiti yang dihasilkan itu adalah produk herba dengan menggunakan sumber daripada sejenis tumbuhan, dikenali sebagai ‘Mikania Micrantha’.

“Lebih menarik, produk ini menggunakan formula lembut, diuji secara dermatologi yang amat sesuai untuk bayi, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai kulit sensitif,” katanya.

Sehubungan itu, kejayaan dirangkul pensyarah berkenaan diharap menjadi pendorong kepada tenaga akademik lain untuk terus menggapai kecemerlangan, selaras memastikan UNISEL sebagai pusat pendidikan peneraju transformasi.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada ketiga-tiga pensyarah yang telah berjaya mengharumkan nama UNISEL,” katanya.

Mengetengahkan tema ‘From Bench To Commercialization’, Pharma-IIDEX merupakan pertandingan anjuran Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.


Pengarang :