NASIONAL

Timbalan Pengerusi PAC cadang siasatan 1MDB dibuka semula

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh akan berbincang bersama Pengerusi PAC, Datuk Ronald Kiandee supaya penyiasatan skandal 1MDB dibuka semula dengan mengambil kira keterangan baru supaya laporan lebih lengkap dan komprehensif dapat dibentangkan ke Parlimen.

Menurutnya, PAC penggal lalu disifatkan telah lesu dan lalai dalam melaksanakan tanggungjawab untuk memelihara kewangan rakyat Malaysia.

“Walaupun pelbagai usaha dan desakan dilakukan Pembangkang ketika itu, PAC telah gagal mengemukakan pengendalian siasatan semula dan membentangkan satu laporan yang komprehensif dan lengkap.

“Khasnya apabila PAC gagal menjalankan siasatan semula selepas keterangan-keterangan baru didedahkan Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat sejak Julai 2016.

 

“Laporan PAC terhadap siasatan 1MDB yang dibentangkan ke Parlimen pada April 2016 telah dijadikan bahan wakil-wakil Kerajaan (Barisan Nasional) ketika itu untuk membersihkan nama dan peranan bekas Perdana Menteri dalam skandal 1MDB walaupun hakikatnya laporan tersebut tidak menyebut berkenaan kesimpulan sedemikian,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Sebelum itu, Datuk Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran dari Barisan Nasional dilantik sebagai Pengerusi PAC baharu hari ini selaras dengan janji Pakatan Harapan (PAKATAN).

Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, PAC yang baru dibentuk perlu menebus kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat serta melaksanakan tanggungjawab nasional yang diamanahkan.

Katanya, PAC akan mengeratkan hubungan kerjasama bersama Jabatan Audit Negara bagi menyiasat kepincangan yang didedahkan selain berbincang dengan Ronald Kiandee supaya pendengaran PAC dapat dibuka kepada orang ramai di masa hadapan demi menjamin taraf ketelusan kecuali melibatkan hal ehwal keselamatan negara atau keadaan luar biasa.


Pengarang :