NASIONAL

Tingkat perdagangan serantau ASEAN

SHAH ALAM, 9 OGOS: Negara ASEAN perlu merebut peluang dalam usaha meningkatkan perdagangan antara satu sama lain ekoran kemelut perdagangan yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan China

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking berkata, fokus kerjasama itu harus membabitkan pengukuhan ekonomi ASEAN, khususnya pasaran digital yang dijangka berjumlah AS$200 bilion (AS$1 =RM4.07) menjelang 2025 berbanding AS$31, pada 2015.

Katanya, kerjasama itu juga mampu dilaksanakan kerana blok itu mempunyai populasi besar, kira-kira 642 juta orang.

“Fokus kepada apa yang kita (ASEAN) ada ketika negara lain (seperti AS dan China) berdepan hari sukar mereka. Dengan bakat yang ada, kita perlu melaksanakan lebih banyak interaksi menerusi Google, Facebook, e-portal dan media sosial lain.

“Kita perlu bersedia untuk menyokong pasaran digital dan meningkatkan ekonomi,” katanya lapor BERNAMA selepas menyampaikan ucapan alu-aluan serta pembentangan mengenai “Memanfaatkan Potensi E-Dagang” sempena sambutan Hari ASEAN ke-51, semalam.

Leiking berkata, perjanjian ASEAN bagi e-Dagang sedang dimuktamadkan dan dijangka selesai akhir tahun ini bagi memudahkan transaksi e-dagang rentas sempadan, di rantau ini.

“Kita akan memaklumkan perkembangan terkini perjanjian itu apabila tiba masanya,” katanya.

Beliau berkata, selain sambil memacu pertumbuhan terangkum dan mengecilkan jurang dalam rantau terbabit, antara objektif perjanjian itu adalah bagi mewujudkan persekitaran yang diyakini dan dipercayai ketika menggunakan e-dagang.

Beliau juga memaklumkan, akan ke Jakarta untuk bertemu rakan sejawat di Indonesia bagi berbincang dan meningkatkan hubungan dua hala, pada 10 hingga 12 Ogos ini.

Sementara itu, beliau berkata, tidak tahu sama ada transaksi secara dalam talian akan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Saya tidak baca yang ia akan (tertakluk kepada SST), namun jika benar, maka ia akan dibincangkan dengan sewajarnya.

“Buat masa ini, kerajaan tidak menyentuh isu itu tetapi saya tidak pasti sama ada rakan dagangan kita yang lain (ASEAN) sudah melaksanakan perkara sama,” katanya.


Pengarang :