dav
SELANGOR

Tourism Selangor & AEON kerjasama pelihara alam sekitar

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 3 OGOS: Tourism Selangor dan Yayasan Persekitaran AEON bekerjasama menganjurkan program ‘7th Asean Student Environment (ASEP) Programme 2018 Tree Planting’ bertempat di Tanjung Beluntas, di sini, hari ini.

Program berlangsung lima hari bermula 1 Ogos itu membabitkan 72 pelajar universiti dari sembilan negara bertujuan menyemai tabiat baik terutama dalam kalangan golongan muda untuk memelihara alam sekitar.

Antara universiti mengambil bahagian adalah Universiti Malaya, Universiti Waseda Jepun, Royal University of Phnom Penh Kemboja, Universiti Tsinghua China, Universiti Korea, Universiti Kebangsaan Vietnam, Universiti Indonesia, Universiti Ekonomi Yangon Myanmar dan Universiti Chulalongkom Thailand.

Menerusi program ASEP, Yayasan AEON berfungsi membangunkan sumber manusia yang aktif dengan perspektif global dalam bidang alam sekitar dan meletakkannya sebagai projek penting.

Pelajar akan mempelajari mengenai kepelbagaian biologi melalui aktiviti penanaman pokok bertujuan mendapatkan habitat pembiakan kelip-kelip.

Sebanyak 200 spesies pokok ditanam seperti ‘Metroxylon Sago’, ‘Bridelia Tomentosa’ dan ‘Ficus Hispida’ merupakan antara spesies dipilih untuk pemulihan kelip-kelip di sekitar Tanjung Beluntas.

Pada masa sama, pelajar dapat mengkaji mengenai ciri-ciri dan peranan hutan hujan tropika sekali gus mewujudkan cadangan berkenaan ‘Bersama-sama dengan Hutan Hujan Tropika, Penggantian kepada Generasi Seterusnya’.

Sehingga kini, AEON sudah menanam lebih daripada 1,000 pokok di Kuala Selangor dimana ia menjadikan spesies kelip-kelip semakin berkembang dan terlindung.

Terdahulu, Yayasan AEON sudah menanam lebih 60,000 pokok di Paya Indah Wetlands Selangor sekitar 2004 hingga 2009.

Sejak 2004, sudah 8,000 penanaman semula pokok dilakukan bertujuan mengelakkan hutan dataran tropika dimusnahkan oleh pembangunan perlombongan di Bidor, Perak.

Yayasan AEON akan terus bergerak secara proaktif dalam kegiatan memelihara alam sekitar termasuk pendidikan alam sekitar untuk menyampaikan keindahan alam semesta yang penuh dengan kehidupan kepada generasi akan datang.


Pengarang :