PELANCONGANSELANGOR

Tourism Selangor jalin kerjasama Sime Darby, lancar ‘THIS IS HOW LIFE SHOULD BE’ Photo Hunt

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tourism Selangor melalui kerjasama Syarikat Pemaju Perbandaran Utama iaitu Sime Darby Property Berhad melancarkan Pertandingan Fotografi The City of Elmina ‘THIS IS HOW LIFE SHOULD BE’ #DiscoverSelangor, di Galeri Jualan Elmina Pavilion, di sini, baru-baru ini.

Seiring dengan peranannya selaku pemain penting industri pelancongan negeri ini, usaha pelaksanaan itu digembleng secara bersama bagi mempamer dan mempromosikan lagi lokasi menarik yang terdapat, di Selangor.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pihaknya sentiasa optimis dalam memastikan sektor pelancongan berjalan rancak terutama dengan memperhebatkan lokasi tumpuan pelancongan tersembunyi sedia ada dan baharu.

“Justeru, setiap tahun kami akan menambah baik dan menjadi lebih kreatif dalam mencuri tumpuan pelancong antarabangsa juga tempatan untuk datang berkunjung ke Selangor.

“Kami amat berterima kasih kerana mempunyai rakan kongsi yang sudi menyokong ke arah merealisasikan hasrat itu seperti Sime Darby Property untuk menjadi tuan rumah untuk edisi kesembilan penganjurannya,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas berhubung pemilihan Bandar Elmina sebagai lokasi penganjuran, Noorul Ashikin berkata, bandar itu adalah perbandaran utama Sime Darby Property yang terdiri daripada perbandaran Denai Alam, Bukit Subang, Elmina Timur dan Elmina West.

“Ia dipilih berdasarkan lokasi dan kedudukannya yang mudah untuk diakses serta persekitaran indah, selain memaparkan ruang hijau Elmina Central Park seluas 300 ekar juga lebih luas berbanding ‘Lake Gardens’, di Kuala Lumpur.

“Selain itu, aspek kebolehcapaiannya juga sangat mudah kerana diakses melalui Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), Guthrie Corridor Expressway (GCE), Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya ELITE.

“Lebuh raya itu turut menghubungkan perbandaran ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 serta pinggir bandar popular, di Lembah Klang seperti Subang Jaya dan Shah Alam,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Pengurus Besar Sime Darby, Apollo Leong, melahirkan perasaan gembira apabila berpeluang turut serta memainkan peranan dalam mengetengahkan tarikan tempatan, di Selangor.

“Kepelbagaian lokasi menarik dan unik di Selangor amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan Malaysia tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’.

“Ia suatu penghargaan untuk kami menjadikan Bandar Elmina sebagai tuan rumah bagi acara penuh bermakna ini.

“Sudah pasti, setiap elemen alam semulajadi, lanskap dan gaya hidup dalam perkembangan ini bakal memberi latar belakang sempurna untuk jurugambar khususnya serta penggemar alam semulajadi amnya,” katanya.

Terdahulu, penganjuran pertandingan yang mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada penggemar seni foto itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM24,500.


Pengarang :