NASIONAL

TPM: Berganding jadikan Malaysia baharu maju, harmoni

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengajak seluruh rakyat Malaysia meraikan sambutan Hari Kebangsaan dengan mengisi pengertian Malaysia Baharu, membawa negara lebih maju dan harmoni di era pasca kemerdekaan.

Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2018, Dr Wan Azizah berkata rakyat perlu bersama-sama bergandingan dalam membina Malaysia menjadi sebuah negara yang teguh, cemerlang dan dihormati di mata dunia serta disegani lawan dan kawan.

“Saya mengimpikan Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang dibanggakan rakyat dan terpahat sebagai tanah air dan ibu pertiwi dalam hati mereka.

“Saya impikan Malaysia yang mana tidak ada seorang pun yang kelaparan dan kehausan, yang ditutupi pakaian yang carik lagi usang atau yang terpaksa tidur berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit.

“Saya impikan sebuah Malaysia yang mengiktiraf wanita dan meletakkan mereka di kedudukan yang sewajarnya, mewakili sekurang-kurangnya 30 peratus di peringkat pembuat dasar dan keputusan di sektor awam dan swasta, malah ia bukan hanya retorik bahkan akan dilaksanakan dengan kesungguhan,” katanya dalam ucapan yang turut disiarkan di televisyen.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut mengimpikan para suri rumah di Malaysia dilayan sebagai teman setara serta pembimbing kepada generasi baharu dan diberikan ruang dan penghormatan yang selayaknya.

Beliau juga ingin melihat kanak-kanak menjadi salah satu aset utama negara dan kesejahteran mereka terjamin.

“Saya impikan juga Malaysia menyinar sebagai obor harapan kepada amalan demokrasi tulen, bukan hanya di rantau ini malah di seluruh dunia,” katanya

Timbalan Perdana Menteri juga menyeru setiap rakyat mengamati perjuangan dan pengorbanan dilalui pejuang kemerdekaan yang membawa kepada keadaan negara pada hari ini.

“Jika mereka boleh mengorbankan nyawa mereka demi kita, maka kini sewajarnyalah kita pula mengorbankan masa, fikiran dan kudrat kita untuk bersama-sama mengisi kemenangan ini bagi mencapai Malaysia Baharu yang kita impikan. Selamat Hari Kebangsaan,” katanya.

 


Pengarang :