NASIONAL

TPM lancar Tabung Perubatan HANIcare

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam tadi melancarkan Tabung Perubatan HANIcare, bagi memelihara kebajikan bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah.

Tabung tersebut merupakan inisiatif Persatuan Murid-Murid Tua (OGA) Kolej Tunku Kurshiah bagi membiayai kos perubatan bekas pelajar yang kurang bernasib baik.

“Saya juga amat berharap agar penglibatan badan-badan korporat dan persatuan ini dapat bekerjasama dan menyumbang demi kebaikan Tabung Perubatan HANIcare.

“Saya tidak membayangkan bahawa tabung ini akan menggantikan fungsi syarikat insurans, tetapi ia akan memberi kemudahan kewangan kepada ahli OGA yang memerlukan perhatian dan perubatan atau yang memerlukan sumber kewangan,” katanya pada Majlis Makan Malam Persatuan Murid-Murid Tua Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah 2018 di sini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Presiden OGA Kolej Tunku Kurshiah Tan Sri Rafiah Salim.

Pelancaran tabung yang berjaya mengumpul dana lebih RM70,000 pada malam ini, akan diberikan kepada mereka yang berkelayakan sekali seumur hidup sehingga RM10,000.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata peranan wanita dalam pembentukan negara begitu penting dan beliau meminta golongan tersebut supaya tidak mudah goyah dalam mendepani cabaran dan harus berani menongkah arus peredaran semasa.

“Malah menurut Hillary Clinton, wanita adalah golongan sokongan yang seharusnya dimanfaatkan. Wanita akan menjadi sebahagian daripada transformasi politik, sosial dan ekonomi seluruh dunia.

“Unless these processes involve women, we will merely become ‘recipients’ of change rather than ‘agents’ of change,” (Kecuali proses ini melibatkan wanita, kita akan hanya menjadi ‘penerima’ perubahan dan bukan agen perubahan), katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah berkata sudah tiba masanya terdapat satu sasaran untuk melahirkan perdana menteri wanita di negara ini.

“Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang timbalan perdana menteri. Saya hanya mahu menjadi seorang doktor. Tetapi kedudukan saya ketika ini telah membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukan ini dan juga lebih daripada apa yang saya lakukan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :