SELANGOR

TPM sifatkan tiga pemergian pemimpin, ujian besar

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 3 OGOS: Pemergian Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin disifatkan sebagai satu kehilangan dan ujian besar khususnya buat KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ujian besar itu termasuk bakal menghadapi pilihan raya kecil (PRK) selepas ini tambahan PAKATAN terdahulu kehilangan tokoh di DUN Sungai Kandis dan Balakong.

“Pemergian besar merupakan satu kehilangan besar buat kita. Kita doakan semoga Allahyarham dicucuri rahmat

“Persiapan satu lagi PRK, ini kali ketiga beturut-turut pemergian yang kita hadapi dan terpaksa teruskan (perjuangan),” katanya yang ditemui media sejurus selesai solat jenazah di Masjid Jamiurrahmah.

Bagi calon PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, beliau turut bersedih atas pemergian Allahyarham selepas sekian lama berkawan sejak menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Lebih memilukan, kehilangan Allahyarham Shaharuddin genap sebulan selepas pemergian penyandang kerusi DUN Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei.

“Pemergian beliau sangat memberikan kesan kerana saya pernah betugas di pejabatnya dan kenal lama sejak bersama ABIM daripada peringkat bawah.

“Beliau seorang ilmuan dan aktivis yang sangat komited dengan tugas dakwah dan ilmu serta mempunyai wawasan yang jelas.

“Kami hanya tahu beliau sakit sejak setahun lalu,” katanya.


Pengarang :