GLOBAL

Trump akur, arah bendera separuh tiang

WASHINGTON, 28 OGOS: Akur dengan tekanan untuk berkabung susulan kematian John McCain, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang.

Arahan itu dibuat selepas Trump mendapati dirinya turut terbabit dalam kontroversi berhubung kegagalan memberi penghormatan kepada McCain yang meninggal dunia Sabtu lalu selepas setahun menghidap barah otak.

Apabila kumpulan veteran melancarkan rayuan memberikan lebih penghormatan kepada McCain, yang pernah dipenjarakan lebih lima tahun di Vietnam, Trump, yang memang tidak menyenangi senator Arizona itu, bertindak sebaliknya.

“Walaupun berbeza pandangan mengenai dasar dan politik, saya hormat khidmat Senator John McCain kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Trump mengarahkan bendera di Rumah Putih dan di tempat lain dikibarkan separuh tinggal sehingga majlis persemadian McCain, pada Ahad ini.

Sebelum ini, bendera di Rumah Putih dikibarkan separuh tiang selepas kematian McCain Sabtu lalu, tetapi dinaikkan semula pagi semalam.

Sikap berdiam diri Trump mengenai McCain menggariskan beliau dipinggirkan dan menyemarakkan kritikan kegagalannya menyatukan negara itu walaupun ketika ia menangisi kematian tokoh yang dilihat sebagai wira AS dan ikon politik.

Di Phoenix, bekas pengurus kempen calon presiden dua kali itu, Rick Davis, mengesahkan Trump tidak akan menghadiri majlis persemadian.

Bagaimanapun, Naib Presiden Mike Pence, dijangka berucap pada majlis menghormati McCain di Capital Jumaat ini. — AFP


Pengarang :