BERITA UTAMASUKANKINI

TSSC: B16 Selangor julang Piala ‘Singapore-Selangor Schools Challange Cup’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pasukan Bawah 16 Tahun (B16) Selangor muncul juara Piala ‘Singapore-Selangor Schools Challenge Cup’ 2018 selepas menewaskan B16 Singapura 2-0 dalam saingan The Sultan of Selangor’s Cup (TSSC) di Stadium Shah Alam.

Aksi babak pertama menyaksikan B16 Singapura terlebih dahulu mengasak ke gawang B16 Selangor menerusi tandukan padu tetapi tersasar.

Selang 10 minit B16 Selangor akhirnya membuka jaringan pertama perlawanan hasil tandukan ketua pasukan, Muhd Iqmal Hazim.

Berpunca daripada sepakan percuma Ahmad Haikal Haziq, Muhd Iqmal melonjak tinggi untuk melepaskan tandukan tepat yang gagal diselamatkan penjaga gol B16 Singapura, Danial Iliya Khaiuddin.

Belum sempat B16 Singapura menyusun permainan, Muhd Fariz Abd Zhafor menggandakan jaringan kepada 2-0 buat B16 Selangor tiga minit kemudian.

Beliau yang berjaya melepasi perangkap ofside, mudah mengawal tolakan terus Ahmad Haikal sebelum tenang merembat rendah ke sebelah kanan gawang B16 Singapura.

Bersambung 35 minit berikutnya kedua-dua pasukan memperkemaskan permainan dan cuba mencari gol.

Beberapa insiden tegang mewarnai permainan babak kedua tetapi pengadil, Jeevanathan berjaya mengawal keadaan.

Tiada tambahan jaringan disaksikan meskipun B16 Singapura melancarkan beberapa serangan dan kedudukan 2-0 kekal memihak B16 Selangor sehingga tamat perlawanan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang sambil diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengerusi TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar.


Pengarang :