SELANGORSUKANKINI

TSSC yakin penyokong gamatkan Stadium Shah Alam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 OGOS: Jawatankuasa The Sultan Selangor Cup (TSSC) yakin lebih 40,000 keping tiket terjual menjelang pertembungan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura yang bakal berlangsung pada 25 Ogos depan.

Pengerusi TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, sambutan yang diberikan penyokong Selangor setakat ini cukup memberangsangkan dan beliau yakin segenap penjuru Stadium Shah Alam bakal dipenuhi.

“Kita harap mereka (penyokong) bersama-sama menjiwai semangat juang pemain Bawah-16, Veteran dan Pilihan Selangor supaya kita dapat mengekalkan tiga piala di Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Jelajah Kemuncak Publisiti dan Majlis Penyampaian Tiket TSSC kepada Kelab-Kelab Penyokong Selangor serta orang awam di perkarangan Pusat Membeli Belah SACC.

Dalam majlis itu, sebanyak 3,000 keping diagihkan kepada 33 Kelab-Kelab Penyokong Selangor.

Selain itu, Jawatankuasa TSSC turut mempamerkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta Honda City dan penyokong berpeluang menyertainya menerusi pembelian tiket berharga RM10.

Turut dijual, baju rasmi TSSC 2018 berwarna kuning pada harga RM40.

Mengenai persiapan TSSC, Abd Karim berkata segalanya berjalan lancar khususnya mengenai keupayaan lampu stadium yang akan digunakan untuk pertunjukkan persembahan dan perlawanan utama.

Difahakamkan, setakat ini hampir 45 buah bas membawa penyokong dari Singapura bakal bertandang ke Shah Alam bagi menyaksikan pertemuan piala berprestij itu.


Pengarang :