BERITA UTAMANASIONAL

Tun M: Bukan 2020, tapi mungkin 2025 Malaysia jadi negara maju

BEIJING 20 OGOS: Malaysia masih boleh menjadi negara maju namun ia mungkin mengambil masa lebih lama berbanding sasaran asal pada tahun 2020.

“Mungkin kita tidak boleh capai menjelang 2020 tetapi mungkin kemudian pada 2025… namun dengan bantuan anda semua kita boleh capai lebih awal,” katanya pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia, di sini semalam.

Dr Mahathir yang pada hari ketiga dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke negara ini, berkata beliau memperkenalkan dasar-dasar untuk Malaysia mencapai sasaran itu namun kesemuanya diubah selepas beliau bersara.

“Kita kini berada dalam negara yang dimusnahkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan baru sedang berusaha mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul.

Dr Mahathir berkata kerajaan baru juga akan berusaha memenuhi janjinya kepada rakyat.

“Kalau tak berjaya hari ini, kita akan berusaha tunaikan janji hingga tercapai,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberi sambutan mesra oleh rakyat Malaysia di negara ini sebaik sahaja tiba pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya.

Dr Mahathir turut menerima sumbangan daripada syarikat Malaysia di China untuk Tabung Harapan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :