BERITA UTAMANASIONAL

Tun M: Capai kemerdekaan kedua, PAKATAN jamin keadilan buat rakyat

SHAH ALAM, 30 OGOS: Bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang disambut pada hari esok, kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan menjamin keadilan kepada rakyat selepas mencapai kemerdekaan kedua sekaligus menolak pemerintahan kejam kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi perutusan sempena Hari Kebangsaan berkata, rakyat perlu berganding bahu bersama dengan kerajaan baharu untuk memulihkan negara susulan kerosakan ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Sesungguhnya ini adalah kemerdekaan kedua bagi kita. Kita sudah bebas daripada belenggu pemerintahan kejam. Hidup kita lebih selesa.

“Malah, Kerajaan PAKATAN akan jamin keadilan bagi semua rakyat, tanpa mengira kaum, bangsa atau agama,” katanya dalam perutusan yang disiarkan oleh televisyen tempatan.

Dr Mahathir berkata, mengimbas kembali kejayaan Malaysia, negara itu penrah membangun dengan pesatnya sehingga dikenali sebagai Harimau Asia dan sebenarnya Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

“Malangnya pertukaran pemerintahan membawa perubahan dasar dan pendekatan dengan sistem demokrasi serta pentadbiran mengikut undang-undang digugur malah diganti dengan cara lain.

“Demikianlah kerosakan dan tekanan yang dirasai rakyat sehingga mereka berasa seolah-olah mencapai kemerdekaan sekali lagi apabila PRU 14 (Pilihan Raya Umum ke 14) menghasilkan perubahan pemerintahan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir memahami hasratnya mengajak rakyat berganding bahu dengan kerajaan untuk memulihkan negara bukan sesuatu yang mudah.

Katanya, beliau sudah membayangkan cabaran besar bakal dihadapi namun tetap yakin dengan gandingan kerajaan serta rakyat mampu memulihkan negara.


Pengarang :