SUKANKINI

UCL musim 2018/19 saji pertembungan klasik, laluan mudah buat Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

MONACO, 31 OGOS: Juara 13 kali, Real Madrid akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 2018/19 selepas diundi dalam Kumpulan G bersama As Roma, CSKA Moscow dan Viktoria Plzen.

Skuad bimbingan Julen Loptegui dijangka berhadapan saingan sengit AS Roma yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir musim lalu.

Musuh setempat Real yang juga Juara Piala Europa musim 2017/18, Atletico Madrid pula bakal menerima saingan sengit juara UCL edisi 1997 dari Jerman, Borussia Dortmund serta finalis musim 2004, AS Monaco dan 1978, Club Brugge dalam Kumpulan A.

‘Kumpulan Maut’ pastinya terarah kepada Kumpulan B yang dihuni Barcelona, Tottenham Hotspurs, PSV Eindhoven dan Inter Milan.

Penyerang Terbaik UEFA musim 2017/18, Cristiano Ronaldo bakal kembali ke Old Trafford musim ini apabila kelab barunya, Juventus akan bersaing bersama Manchester United di samping cabaran Valencia dan BSC Young Boys dalam Kumpulan H.

Kali terakhir Ronaldo menjaringkan gol menentang Manchester United dalam kancah UCL pada peringkat 16 pasukan terbaik musim 2012/13 ketika bersama Real Madrid.

Sementara itu, juara UCL lima kali yang juga finalis musim lalu, Liverpool diundi dalam Kumpulan C bersama Juara Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), SS Napoli (Itali) dan kehadiran semula juara edisi 1991, kelab Red Star Belgrade dari Serbia.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League


Pengarang :