SELANGOR

UKM, IPTA pertama lancar aplikasi pintar buat pelajar baru

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 OGOS: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama mewujudkan aplikasi pintar untuk pelajar baru bermula September depan.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan AlumnI), Prof Madya Dr Roslee Rajikan berkata, aplikasi dinamakan MESRA@UKM itu bertujuan memudahkan pelajar baru membuat pendaftaran masuk ke universiti terbabit.

“Mereka boleh menggunakan aplikasi ini untuk mendapatkan informasi berkaitan dengan jadual Minggu Mesra Mahasiswa, lokasi, peta laluan dalam UKM, pelaksanaan 7 domain dan sebagainya.

“MESRA@UKM memberi kebebasan kepada pelajar meneroka UKM tanpa perlu diurus selia oleh pemudahcara.

“Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat mengenai jadual perjalanan bas ke setiap kolej atau fakulti melalui aplikasi ini sekaligus memudahkan pelajar merancang pergerakan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Roslee berkata, aplikasi dibangunkan penuntut Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) itu juga adalah satu perubahan besar dalam memecah tradisi pelaksanaan Minggu Mesra Mahasiswa yang memacu mahasiswa ke arah teknologi terkini lebih relevan dengan kehidupan masa kini.

Katanya, pelajar juga boleh memuat naik link video pengenalan diri mereka selain memuat naik video dan gambar semasa program berlangsung seiring dengan Revolusi Industri 4.0.

“Di sini memperlihatkan bahawa UKM berjaya melahirkan ramai graduan yang berjaya dalam pelbagai bidang selain dapat menyuntik semangat mahasiswa baru UKM untuk memulakan pengajian mereka sehingga menggengam ijazah dengan jaya,” katanya.

MESRA@UKM telah dilancarkan pada 17 Ogos lalu di Persada Canselori oleh Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Aplikasi itu boleh dimuat turun melalui Google Playstore dan Apps Store bermula 15 Ogos 2018.


Pengarang :