NASIONAL

Undang-Undang tetapkan had umur minimum perkahwinan diselaraskan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Usaha sedang dibuat untuk menyelaraskan semua perundangan berkaitan di negara ini untuk menetapkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata langkah itu sedang dirangka dan akan dilaksana bagi penyelesaian jangka panjang terhadap isu perkahwinan bawah umur di Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata ia akan dilaksana melalui pembabitan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal-ehwal agama dan undang-undang, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Inisiatif itu melibatkan undang-undang seperti Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah dan pelbagai undang-undang adat kaum peribumi di Sarawak, katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan hari ini.

Dr Wan Azizah menjawab pertanyaan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang ingin tahu bentuk undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada eskploitasi serta usaha memastikan ia diikuti mahkamah di setiap negeri.

Dr Wan Azizah berkata memandangkan Malaysia mempunyai adat dan budaya yang tersendiri mengikut kaum dan kepercayaan, perundingan akan diadakan bersama pakar-pakar berkaitan termasuk pakar kanak-kanak, pakar budaya dan pakar syarie dalam penetapan had umur minimum ini.

Buat masa ini, di bawah perundangan sedia ada seperti Akta Undang- undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri memperuntukkan bahawa permohonan perkahwinan bawah umur hendaklah mendapat kebenaran hakim syarie (bagi Muslim) dan ketua menteri (bagi bukan Muslim).

Undang-undang lain yang berkaitan ialah Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah dan pelbagai undang-undang adat kaum, tambahnya.

Dr Wan Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada negeri Selangor dan Sarawak atas pengumuman baru-baru ini berkenaan penetapan had umur perkahwinan kepada minimum 18 tahun dan berharap ia akan diikuti negeri lain.

Beliau berkata berdasarkan rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), bagi pasangan Muslim, sebanyak 5,362 ​​​​​​​permohonan perkahwinan bawah umur 18 tahun dicatat bagi tempoh 2013 hingga 2017.

Bagi pasangan bukan Muslim, 2,367 permohonan ​​​​​​​perkahwinan bawah umur 18 tahun dicatat bagi tempoh sama, katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :