Selangorkini
NASIONAL

Universiti Limkokwing cipta lagu Hari Kebangsaan ke-61

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM 26 OGOS: Universiti Limkokwing berjaya mencipta sebuah lagu patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan negara kali ke-61.

Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, lagu itu dicipta khas oleh penuntut Fakulti Akademi Rekaan Bunyi dan Muzik Universiti Limkokwing.

“Idea untuk menghasilkan lagu yang diberi nama Demi Negara ini tercetus selepas kejayaan Pakatan Harapan (PAKATAN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu sekali gus sambutan Hari Kebangsaan kali ini dianggap sebagai kelahiran Malaysia Baharu,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran lagu Demi Negara di Universiti Limkokwing.

Raja Aznil berkata, pihaknya berharap lagu itu dapat diterima oleh seluruh masyarakat dan menjadi popular seperti lagu Keranamu Malaysia, Jalur Gemilang dan lagu-lagu patriotik lain.

“Lagu Demi Negara boleh ditonton menerusi laman YouTube dan pihaknya menjangkakan dapat menarik sehingga dua juta tontonan sebelum 31 Ogos ini,” katanya.


Pengarang :