EKONOMI

Untung bersih Petronas Gas meningkat kepada RM537.08 Juta

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PetGas) meningkat kepada RM537.08 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2018 daripada RM425.93 juta yang direkodkan pada suku yang sama 2017.

Perolehan meningkat 15.7 peratus kepada RM1.36 bilion daripada RM1.17 bilion pada tempoh yang sama, didorong terutamanya terminal regasifikasi gas asli cecair baharu syarikat itu di Pengerang, Johor, yang memulakan operasi komersial pada November 2017 selain perolehan lebih tinggi daripada semua segmen.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, PetGas berkata keuntungan bersih bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2018 bertambah kepada RM1.04 bilion daripada RM889.09 juta pada tempoh sama 2017.

Perolehan meningkat kepada RM2.71 bilion daripada RM2.34 bilion bagi tempoh yang sama.

Berdasarkan prestasi syarikat, PetGas berkata loji pemprosesan gas miliknya telah mencapai 100 peratus kebolehpercayaan, sekali gus mengekalkan piawaian berkelas dunia.

“Prestasi pengekstrakan loji cecair secara konsisten telah melebihi sasaran sepanjang suku kedua, menjadikan bahagian pendapatan berstruktur berasaskan prestasi yang diperoleh adalah lebih tinggi berbanding suku yang sama,” menurut PetGas.

Mengenai prospek, PetGas berkata, ia masih berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memuktamadkan garis panduan tarif bagi perkhidmatan pengangkutan dan regastifikasi gas selepas 2018.

“Prestasi syarikat pula dijangkakan kekal stabil susulan sokongan aliran pendapatan kukuh dan mampan hasil Perjanjian Pemprosesan Gas, Perjanjian Pengangkutan Gas dan Perjanjian Perkhidmatan Regastifikasi sedia ada yang telah dimeterai dengan Petronas,” menurut PetGas.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :