GLOBAL

Virus Ebola ragut 33 nyawa di Congo

KINSHASA 5 OGOS: Penularan terbaru virus Ebola di timur Republik Demokratik Congo (DRC) dipercayai telah meragut 33 nyawa.

Kementerian Kesihatan dalam buletin semalam berkata, 13 kes terbaru virus maut itu dikesan sejak penularan wabak berkenaan diisytiharkan pihak berkuasa pada 1 Ogos lalu di wilayah Utara Kivu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan walaupun hanya tiga kematian dicatatkan dari 13 kes itu, namun jumlah pesakit yang maut setakat ini telah meningkat kepada 33 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan Jumaat lalu berkata, usaha mengekang penularan wabak berkenaan di zon perang seperti negara itu adalah cabaran yang amat sukar.

Ketua Unit Kecemasan WHO, Peter Salama berkata, pekerja kesihatan di Utara Kivu di timur DRC perlu memberikan tumpuan kepada lebih 100 kumpulan bersenjata dengan 20 daripadanya dikategorikan sebagai sangat aktif.

Penyebaran wabak di Utara Kivu diisytiharkan seminggu selepas WHO dan kerajaan Kinshasa meraikan kejayaan menghapuskan gelombang pertama Ebola di barat laut wilayah Equateur.

Kes terbaru virus Ebola itu ialah yang ke-10 di DRC sejak tahun 1976 selepas kali pertama dikesan di utara negara terbabit, ketika itu dikenali sebagai Zaire.

Sementara itu di Geneva, WHO berkata kebanyakan kes terbaru dicatatkan di daerah Mangina, 30 kilometer dari bandar Beni.

SUMBER: AFP


Pengarang :