NASIONAL

Wan Azizah jumpa ibu bapa Adam Rayqal di Parlimen

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meluangkan masa bertemu ibu bapa Adam Rayqal Mohd Sufi di pejabatnya di bangunan Parlimen, di sini.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Ketika ditemui pemberita, Yeoh berkata dalam perjumpaan itu antara lain, ibu bapa Adam diberi penerangan berhubung pelbagai langkah diambil kerajaan susulan kematian anak mereka yang disyaki dibunuh selepas ditemukan mati, lengkap berpakaian dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya.

“Kami sedang buat sebaik mungkin supaya pemergian Adam ini tak sia-sia,” katanya kepada sidang media yang turut dihadiri ibu bapa bayi berusia lima bulan itu, Mohd Sufi dan Farrah Madihah Othman.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini dilapor menyifatkan kes pembunuhan Adam yang kini masih dalam siasatan sebagai satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

Susulan kes berkenaan, Yeoh berkata, antara lain semua agensi kerajaan bermula Januari tahun depan disasar mempunyai tempat asuhan kanak-kanak masing-masing, selain cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak.

“Kita juga akan perkasakan Daftar Kanak-kanak sedia ada…supaya pengasuh kanak-kanak ini akan ada rekod, macam daftar pesalah seks. Ini supaya ibu bapa tahu bahawa anak mereka dalam jagaan orang yang tak ada rekod jenayah, ini penting,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :