SELANGOR

Wan Azizah mahu lebih ramai turun mengundi PRK kali ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 OGOS : Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mahu bilangan keluar mengundi lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong yang bakal diadakan serentak 8 September ini.

Katanya, gesaan itu dibuat berikutan jumlah pengundi agak ‘dingin’ pada PRK Sungai Kandis sebelum ini.

“Dengan penggunaan logo baru PAKATAN, saya berharap lebih ramai pengundi akan memilih untuk mengundi dalam PRK kali ini berbanding pilihan raya di Sungai Kandis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada penamaan calon PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pagi tadi.

Wan Azizah berkata, penggunaan logo baru PAKATAN di Seri Setia dan Balakong adalah satu langkah yang tepat pada masanya.

“Ini adalah kali pertama PAKATAN menggunakan logo barunya untuk pilihan raya, dan kita akan terus berbuat demikian.

“PAKATAN akan mula menggunakan logo ini dari sekarang supaya orang ramai lebih mengenalinya,” katanya.

Wan Azizah berkata, logo itu juga digunakan pada PRK Balakong dan berharap semua pengundi di kawasan terbabit dapat mengalu-alukannya.


Pengarang :