SELANGOR

Waris Allahyarham Abang Din dibantu miliki kediaman sendiri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SERDANG, 10 OGOS: Jasa dan sumbangan jurukamera Media Selangor, Allahyarham Khairuddin Jamaluddin, kepada masyarakat dan Kerajaan Negeri tidak pernah dilupakan.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Borhan Aman Shah berkata, Kerajaan Negeri akan membantu keluarga Allahyarham memiliki kediaman sendiri menerusi projek Perumahan Selangorku.

“Kami akan usahakan supaya keluarga Allahyarham memiliki rumah sendiri yang sesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Menteri Besar dan Faedah PERKESO dan Takaful Malaysia Berhad di kediaman Allahyarham di sini, hari ini.

Borhan berkata, selain kediaman, beliau juga akan memastikan aspek kebajikan lain keluarga Allahyarham terbela.

Allahyarham Khairuddin yang lebih dikenali dengan panggilan Abang Din mula berkhidmat sebagai jurukamera di Media Selangor pada 1 Disember 2009 iaitu ketika awal penubuhan organisasi itu.

Sepanjang berkhidmat, beliau sering membuat liputan pelbagai isu membabitkan isu kemasyarakatan dan pembangunan, di Selangor.

“Saya kenali Allahyarham secara peribadi kerana Allahyarham pernah beberapa kali membuat liputan ketika saya sebagai Penyelaras DUN lagi,” katanya.

Allahyarham Khairuddin menghembuskan nafas terakhir akibat pendarahan dalam perut, di Hospital Serdang, pada 25 Jun lalu.


Pengarang :