SELANGOR

YAWAS serah sumbangan kepada waris TAWAS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 16 OGOS: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menyerahkan cek khairat kematian kepada waris Allahyarham Umar Rusyduddin Zamlauddin, yang meninggal dunia ekoran pendarahan otak, di Taman Sri Nanding, di sini, hari ini.

Manfaat Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) berjumlah RM1,500 itu disampaikan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof kepada bapanya, Muhammad Zamlauddin, 26, sambil disaksikan pegawai YAWAS.

Edry Faizal berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban kewangan ditanggung keluarga berkenaan.

“Saya bangga dan terharu melihat kecekalan bapa Allahyarham adik Umar yang tabah mengharungi kehidupan walaupun kehilangan anak tersayangnya itu.

“Pada masa sama, syabas kepada beliau kerana mendaftar dengan skim ini yang juga satu daripada 40 program dilaksana Kerajaan Negeri.

“Beliau sedar bahawa Kerajaan Negeri ada menyediakan skim yang sememangnya membantu rakyat jika berlaku sesuatu tidak diduga,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua masyarakat di negeri ini supaya memanfaatkan setiap kemudahan diberi Kerajaan Negeri sebaik mungkin demi kebaikan bersama.

“Saya berharap, melalui skim yang diperkenalkan dapat memberi manfaat kepada seluruh warga Selangor, di mana-mana kawasan sekalipun.

“Kami di pihak Kerajaan Negeri sentiasa komited dan bekerja keras dalam memastikan hak dan kebajikan rakyat terbela,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Zamlauddin, yang menerima sumbangan bagi pihak anaknya itu melahirkan rasa terharu atas inisiatif dilaksana Kerajaan Negeri terhadap rakyat di Selangor, khususnya.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri termasuk YAWAS atas keprihatinan mewujudkan peluang seperti ini.

“Walaupun ia satu jumlah yang kecil tetapi nilainya amat besar bagi saya sekeluarga dan amat membantu dengan keadaan ekonomi sekarang ini.

“Justeru, saya menggalakkan semua rakyat di luar sana supaya turut mendaftar dalam skim ini kerana ia tidak merugikan, sebaliknya memberi faedah,” katanya.

Difahamkan, Zamlauddin antara penerima keenam manfaat itu, di DUN Dusun Tua.

Seramai 323,186 ahli TAWAS berdaftar direkodkan pihak YAWAS setakat ini.


Pengarang :