SELANGOR

‘YB’ bukan sekadar periksa longkang – Calon PAKATAN Balakong

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 27 OGOS : Menjadi seorang ‘Yang Berhormat (YB)’ bukan sekadar membuat pemeriksaan longkang, kata Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki.

Katanya, sebelum ini Calon MCA, Tan Chee Teong membuat kenyataan dengan mempersoalkan tanggungjawab menjadi seorang Ahli Dewan Negeri(ADN) terhadapnya.

“Saya terkejut kerana di dalam kenyataannya semalam, Chee Teong kononnya tidak tahu apa itu tugas sebagai ADN, beginilah, jika dia ingin tahu kerja sebagai seorang ADN, dia boleh melihat facebook saya.

“Beliau dialu-alukan untuk ‘follow’ saya di alam maya dan melihat gerak kerja saya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong kali ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Balakong, hari ini.

Siew Ki yang juga bergelar Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata, dia turut berikrar menunaikan janji bekas ADN Balakong, mendiang Eddie Ng Tien Chee bagi membangunkan dua projek infrastruktur di kawasan itu.

Katanya, dua projek itu adalah melebarkan jalan dan menaik taraf sistem longkang di kawasan itu.

“Kedua-dua projek ini adalah projek yang dijanjikan Eddie ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang belum sempat ditunaikan.

“Saya harap dapat menunaikan janji beliau untuk memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

“Buat masa ini, kedua-dua projek itu masih belum ditetapkan tempoh masa berikutan ia masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak berkaitan,” katanya.

Kerusi DUN Balakong kosong selepas Adunnya,Eddie Ng maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.

Pada PRU14 lalu, Ng mengalahkan calon MCA, Lim Chin Wah dan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.


Pengarang :