Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Zawawi optimis PAKATAN kekal di DUN Sungai Kandis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 OGOS: Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin Pakatan Harapan (PAKATAN) berpeluang cerah mengekalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berdasarkan respon positif masyarakat di sepanjang kempen dilakukan.

Calon KEADILAN dan PAKATAN dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN itu optimis dengan keadaan dilalui ketika bertemu penduduk tempatan dan kempen yang teratur di sepanjang tempoh berkenaan.

“Kempen selama 14 hari berjalan baik mengikut jadual dan berdasarkan maklum balas juga respon daripada orang ramai begitu positif.

“Daripada reaksi diterima ini, saya yakin dengan peluang yang ada dan mencapai sasaran ditetapkan (memenangi PRK),” katanya kepada media selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun di sini, hari ini.

Mohd Zawawi hadir bersama isteri, Hazlina Razak di sekolah itu bagi menunaikan tanggungjawab dan beliau adalah calon tunggal mengundi dalam PRK itu.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana kembali ke sekolah lamanya untuk tujuan itu selepas lebih kurang 30 tahun.

Selain dirinya dan isteri, Mohd Zawawi berkata, dua orang anaknya akan turut mengundi di pusat sama selepas ini.

“Saya meminta pengundi berdaftar di DUN Sungai Kandis untuk keluar mengundi awal ke pusat mengundi,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Zawawi dan calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Noor Adam serta calon BEBAS, K Murthy.

Ia diadakan ekoran kematian mantan Ahli Dewan Negerinya, Allahyarham Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.


Pengarang :