SELANGOR

Zawawi tumpu isu perumahan rakyat di Sungai Kandis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 OGOS: Calon Pakatan Harapan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan memberi keutamaan kepada isu perumahan rakyat dengan mencadangkan lebih banyak pembinaan Rumah Selangorku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Katanya, beliau mahu Kerajaan Negeri membina sekurang-kurangnya 500 unit di Johan Setia dan memberi keutamaan kepada anak jati dari DUN berkenaan.

“DUN Sungai Kandis adalah antara kawasan yang semakin padat dengan pembangunan. Berikutan itu ia mencetuskan isu yang dibangkitkan penduduk setempat iaitu masalah kekurangan kediaman.

“Saya melihat ia perlu diatasi segera kerana jumlah golongan muda yang memerlukan kediaman di kawasan ini semakin ketara. Lebih lagi dengan penghijrahan penduduk luar ke kawasan ini.

“Setakat ini tiada perancangan bagi pembinaan projek perumahan pada skala besar sedang dirancang di kawasan ini bagi mengatasi masalah itu, kerana berkemungkinan DUN ini berstatus perkampungan,” katanya pada sidang media, di sini.

Mohd Zawawi berkata, pihaknya turut akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan terbabit selain menggalakkan pemilik tanah persendirian membina projek usahasama dengan syarikat swasta.

Katanya, pihaknya juga akan mencadangkan akses kepada pembiayaan pinjaman yang lebih mudah dengan bantuan Kerajaan Negeri, pemaju dan pembiaya pinjaman.’

“Saya akan mewujudkan data lebih terperinci mengenai permintaan dan penawaran rumah kediaman di kawasan ini. Ia bagi membantu Kerajaan Negeri mendapat gambaran jelas mengenai isu perumahan supaya dapat merancang kaedah terbaik untuk mengatasinya.

“Saya percaya dengan keazaman yang tinggi Kerajaan Negeri untuk membela kebajikan rakyatnya, masalah perumahan untuk penduduk dapat diatasi,” katanya.


Pengarang :