NASIONAL

Zuraida mahu hidupkan kembali ‘Keep Malaysia Clean’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 24 OGOS: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin optimis mahu menghidupkan kembali kempen ‘Keep Malaysia Clean’ bagi mengatasi isu pengurusan sampah, di Selangor.

Beliau berkata, penekanan itu penting terutama dalam memastikan aspek pengurusan sampah dan sisa pepejal dapat dijalankan dengan lebih teratur serta efisien.

Katanya, ia ekoran masih terdapat segelintir masyarakat yang belum tahu cara membuang sampah dengan betul sehingga menjejaskan kebersihan persekitaran.

“Dalam perancangan dasar perumahan baru, kita akan masukkan usul bagaimana untuk menguruskan bangunan, terutama sampah di kawasan rumah mampu milik.

“Hal ini membolehkan saya untuk terus ke hadapan melalui teknologi baharu pengurusan sisa pepejal, sekali gus memberi kesedaran kepada penduduk supaya mengamalkan sikap membuang sampah dalam tong sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kenduri Rakyat Aidiladha Peringkat Parlimen Ampang, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Zuraida berkata, pihaknya juga memahami mentaliti dan kesedaran masyarakat memainkan peranan dalam memastikan setiap rancangan kerajaan ke arah amalan mesra alam berjalan sebaik mungkin.

“Budaya lama perlu dihapuskan kerana didikan dan kesedaran penduduk amat penting untuk mengubah mentaliti serta budaya itu” katanya.


Pengarang :