PBTSELANGOR

10 kumpulan bakal gegar ‘Gelanggang Teater Kota Seni PJ 2018’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 7 SEPT: Sebanyak 10 kumpulan teater dari seluruh negeri bakal berentap bagi merebut Piala Pusingan Menteri Besar Selangor, pada ‘Gelanggang Teater Kota Seni PJ 2018’ bermula 25 hingga 29 September ini, di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, di sini.

Pertandingan edisi julung kali di bawah penganjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Majlis Teater Selangor (MTS) itu bakal menyaksikan kehadiran Kumpulan Hidayah, UNTEATER, BATEK (Selangor), Panji Ria dan Suara Alam.

Turut sama Persatuan Alumni Kelab Teater Rimba, Kumpulan Inspire Production, Kumpulan Titis, Kumpulan Lantera dan Kumpulan Artis Budaya Zaman.

Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Johary Anuar berkata, penganjuran teater berkonsepkan pertandingan itu dirangka pihaknya bagi mengimarahkan seni teater yang dilihat mampu memberikan impak positif terhadap hala tuju Petaling Jaya sebagai kota seni.

Katanya, seni teater adalah suatu gabungan seni dicipta penulis, sutradara, penata artistik, krew teknikal dan seterusnya untuk diproduksikan sebagai seni yang kolektif.

“Justeru, penganjuran ini adalah wadah dalam memartabatkan kebudayaan dan kesenian, khususnya kepada golongan muda yang merupakan generasi masa hadapan, supaya menitikberatkan aspek berkenaan bagi memastikan ia tidak lupus begitu sahaja.

“Selain itu, ia adalah salah satu program di peringkat Selangor melalui usaha Kerajaan Negeri menjadikan bandar raya ini sebagai kota seni, seterusnya melahirkan masyarakat yang sentiasa hidup dengan interaksi sihat melalui seni, kebudayaan dan intelektual.

“Selain menjadikan bandar raya ini sebagai pusat kegiatan aktiviti teater di Selangor yang menyediakan kemudahan pementasan terbaik, kita juga mahu melahirkan kumpulan atau penggiat teater berdaya saing dan kreatif, bagi menghasilkan karya seni besar sebagai naskah Petaling Jaya dalam memajukan pementasan teater ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Gelanggang TEATER Kota Seni PJ 2018, di Bilik Gerakan Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Majlis Teater Selangor (MTS), Shahrul Nizam Samsudin; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan, Aznan Hassan; Pegawai Kebudayaan MBPJ, Hasnizam Che Hassan dan Seniwati merangkap Aktivis Teater Negara, Fauziah Nawi.

Pada masa sama, Johary turut merakamkan penghargaan kepada MTS kerana komited sebagai rakan strategik untuk penganjuran itu sehingga berjaya menapis dan mengumpulkan kumpulan yang layak bertanding seperti disasarkan.

“Gandingan strategik ini memberi satu harapan baharu bahawa kegiatan teater ini akan terus berkembang di Petaling Jaya, seiring dengan pembangunan acara kota seni yang rancak berkembang ketika ini,” katanya.

Johan pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM4,000), manakala Naib Johan (RM3,000), Kumpulan Harapan (RM2,000) dan Saguhati (RM500).

Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik pula bakal menerima wang tunai (RM300) dengan kesemua pemenang bagi setiap kategori turut menerima piala iringan, sijil penyertaan serta cenderamata.

Justeru, orang ramai termasuk penggiat teater dijemput hadir untuk bersama menjayakan dan menghangatkan pertandingan berkenaan.


Pengarang :